Category: Cuepacs



Bernama
4/8/2011

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu.

Beliau berkata Cuepacs telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua bulan lepas dan mengharapkan berita baik itu diumumkan tidak lama lagi.

“Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan,” katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Sebelum ini, Cuepacs beberapa kali telah membuat permohonan kepada kerajaan agar mempertimbangan pemberian bonus tersebut selepas Cuepacs sendiri menerima banyak permintaan dari penjawat awam agar mereka mendapat bonus.

Beliau juga berkata pemberian bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi kepada keseluruhan penjawat awam.

Bagaimanapun, ia terserah kepada kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan untuk memutuskannya dan Cuepacs berharap agar ia dapat dipertimbangkan memandangkan keadaan ekonomi negara yang semakin menyakinkan.

Sementara itu, Cuepacs berhasrat untuk mengadakan perbincangan bersama kerajaan mengenai Skim Pencen Bercarum (SPB) yang dijangka akan dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata walaupun Cuepacs sebulat suara menolak pelaksanaan skim itu, mereka tetap bersedia untuk berbincang dengan harapan kerajaan dapat menawarkan penambahbaikan yang mampu memberi kebaikan kepada keseluruhan penjawat awam.

“Perbincangan ini untuk kerajaan mendengar apa sebenarnya pandangan Cuepacs, kenapa Cuepacs menolak SPB,” katanya.

Cuepacs sebagai badan tertinggi yang mewakili sektor awam tetap dan berpencen mendakwa bahawa skim itu tidak menguntungkan terutamanya kepada generasi baru sektor awam.


SEREMBAN 11 Julai – Mutu kerja para penjawat awam di negeri ini meningkat dengan ketara sejak 2004 melalui pelbagai pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pembaharuan masih perlu dilaksanakan terhadap imej penjawat awam yang dibelenggu stigma yang tidak baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau amat berpuas hati dengan peningkatan mutu kerja ditunjukkan para penjawat awam di negeri ini hingga melepasi sasaran yang ditetapkan mengikut Sasaran Kerja Tahunan (SKT).

Beliau berkata, ia boleh dilihat apabila surat yang mengadu mengenai perkhidmatan awam semakin berkurangan, malah sudah banyak surat dihantar oleh orang ramai yang memuji perkhidmatan yang diberikan.

“Tetapi kita masih menghadapi masalah mengenai imej kakitangan awam yang menimbulkan persepsi tidak baik di mata orang ramai.

“Kita perlu mengurus persepsi ini supaya ia tidak terus membelenggu perkhidmatan awam di negeri ini,” katanya berucap pada Perhimpunan Hari Penjawat Awam Peringkat Negeri Sembilan anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Bahagian Negeri Sembilan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dan Pengerusi CUEPACS Bahagian Negeri Sembilan, Shazali Husain.

Mohamad pada sidang akhbar selepas majlis itu, berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan kaunter universal bagi membolehkan semua urusan perkhidmatan kaunter kerajaan dibuat di situ.

Katanya, ia bertujuan memudahkan orang ramai membuat urusan tanpa perlu pergi ke tempat berlainan yang dianggap menyusahkan dan menggunakan banyak masa.

“Pada masa ini, kaunter jabatan kerajaan terletak di merata-rata tempat, malah jabatan-jabatan yang terletak di bawah satu kementerian yang sama terletak di kawasan berasingan,” katanya.

Sementara itu, Shazali berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan kerajaan negeri itu kerana semua jabatan kerajaan sepatutnya mencari jalan bagi memudahkan orang ramai membuat urusan.

Sumber


Bernama
29/6/2011

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) — Rancangan pihak tertentu untuk terus mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai di ibu negara walaupun tanpa permit menimbulkan pelbagai reaksi umum yang bimbang terhadap implikasi buruk daripada perhimpunan itu.

Lebih membimbangkan lagi jika ada pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan daripada perhimpunan itu untuk kepentingan tertentu.

Berikut antara petikan pendapat umum mengenai rancangan mengadakan perhimpunan haram tersebut:

“Perhimpunan haram 9 Julai ini sebenarnya digerakkan oleh pihak yang tidak sabar untuk berkuasa dan bukannya kerana pilihan raya di negara ini tidak bersih.

“Tindakan kumpulan pengacau itu mengadakan perhimpunan haram itu adalah untuk mendapatkan kembali sokongan yang mereka dapat semasa pilihan raya umum 2008 memandangkan kini momentum sokongan rakyat kembali berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

(Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak)

“Orang awam tidak sepatutnya terlibat dengan perhimpunan berkenaan yang hanya akan menimbulkan masalah kepada ketenteraman awam.

“Saya memantau keadaan ini, lagi pun sudah beratus-ratus laporan kita terima yang tidak menyokong perhimpunan ini.

(Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar)

“Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta penjawat awam supaya tidak terlibat dengan kegiatan 9 Julai ini.

“Semua 1.2 juta penjawat awam di negara ini terikat dengan Aku Janji yang ditandatangani ketika mereka mula berkhidmat yang melarang mereka terlibat dalam aktiviti seperti itu.

(Presidennya Datuk Omar Osman)

“Bersih dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk memajukan agenda politik tersendiri dan tidak sama sekali memperjuangkan hak-hak rakyat seperti yang diperkatakan.

“Sememangnya pilihan raya di Malaysia adalah dijalankan dengan adil dan saksama dan buktinya ialah bilangan ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada pihak pembangkang ketika ini.”

(Presiden Parti Makkal Sakti Datuk R.S. Thanenthiran)

“Perhimpunan ini hanya akan menyusahkan orang ramai dan menjejaskan pendapatan peniaga kecil dan pemandu teksi yang antara mereka merupakan anggota persatuan itu.

(Pemangku Presiden Persatuan Bekas-bekas Polis Malaysia (PBPM) Datuk Yusuf Hamdain Diego)

“Tindakan mengadakan perhimpunan itu bukan sahaja bakal menyebabkan kesusahan kepada orang ramai bahkan menjejas imej negara yang selama ini menyerlah di mata dunia.

“Apa perlu adanya demonstrasi? Kita faham kalau dah ramai berdemonstrasi, pastinya keadaan tidak akan aman apatah lagi bila berlaku pertembungan dua kumpulan. Yang menjadi mangsa ialah rakyat.”

(Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Syed Anuar Syed Mohamad)

“Budaya demonstrasi yang berlaku di beberapa negara lain harus dijadikan iktibar bahawa ia boleh menjejaskan keselamatan, keamanan dan ekonomi sesebuah negara”

(Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee)

“Kalau nak lakukan sesuatu, kita juga perlu fikirkan kepentingan rakyat. Dengan adanya perhimpunan itu nanti, ia akan mengundang kesesakan lalu lintas dan menjejaskan rutin harian serta pendapatan rakyat seperti peniaga kecil dan pemandu teksi”

(Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay)

“Sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak dengan lebih tegas menyekat kegiatan yang boleh menjejaskan kepentingan awam dan keselamatan negara dan menyarankan kepada polis agar menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap perancang perhimpunan.

(Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman)

“Perhimpunan itu tidak memberi faedah kepada sesiapapun, malahan ia menyusahkan pemandu teksi mencari rezeki serta kehidupan seharian orang awam.

(Pemandu teksi, Samad Ismail, 43)

“Perhimpunan ini perlu dibatalkan kerana bukan sahaja ia menjejas pendapatan peniaga tetapi turut mengancam keselamatan”

(Pemilik kedai tas tangan dan perhiasan wanita, Rosyna Alias, 48)

“Jika berlaku perhimpunan, ia mengganggu rutin harian wanita hingga mengakibatkan mereka takut untuk keluar dan terpaksa tinggal di rumah supaya tidak terdedah kepada bahaya.

“Waktu hujung minggu adalah waktu beriadah tapi apabila berlaku perhimpunan haram seperti ini kita terpaksa terperuk dan berkurung di rumah”

(Pekerja swasta Muliana Mohamad, 26)

— BERNAMA

GAJI MINIMUM AKHIR TAHUN


Pada majlis yang pertama kali dihadirinya, Najib turut melancarkan portal aduan pekerja yang dibangunkan dengan kerjasama Pemuda UMNO, selain menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada bekas Setiausaha Agung MTUC, G Rajasegaran.

Najib berkata, menerusi majlis konsultasi itu, pelbagai isu berkaitan pekerja dapat dibentangkan dan dibincangkan untuk pertimbangan menteri seperti persaraan, usia persaraan, elaun saraan hidup dan pekerja asing.

“Semua perkara ini wajar diperhalusi supaya keputusan yang dicapai mendatangkan kebaikan kepada semua pihak,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata kehadirannya pada majlis itu sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada MTUC sebagai badan yang memayungi kesatuan sekerja di negara ini.

“Saya percaya MTUC sebagai badan yang boleh memainkan peranan positif untuk menjaga kebajikan 12 juta pekerja di negara ini. Tahniah diucapkan kerana berjaya mentransformasikan negara ini daripada negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dalam jangka masa satu generasi saja.

“Sekarang, cabaran kita sebagai pekerja, majikan, kerajaan dan rakyat sama ada penjawat awam atau pekerja swasta adalah untuk menyumbang ke arah menjayakan transformasi negara kepada negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan dalam ucapannya, turut meminta kerajaan mengkaji untuk memanjangkan pelaksanaan cuti bersalin selama 90 hari kepada sektor swasta.

“Kebanjiran pekerja asing juga perlu dikaji puncanya kerana ia memberi kesan kepada pekerja tempatan yang bagaikan dipinggirkan, hingga 400,000 rakyat tempatan berhijrah untuk bekerja di luar negara,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan; Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

INFO: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

  • Penetapan gaji minimum RM900 sebulan
  • 34 peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis kemiskinan
  • Perjuangkan sejak 1999
  • Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menaungi 260 kesatuan sekerja
  • Sehingga Disember 2010, 5.5 juta pekerja rasmi dalam sektor swasta di Malaysia.
Sumber

JPA sedia temui CUEPACS


Pelaksanaan penuh PROSPEK berkuat kuasa 1 Januari 2012

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedia berbincang dengan CUEPACS sebelum mengeluarkan surat pekeliling berhubung pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, setakat ini enggan mengulas mengenai lima tuntutan baru yang dikemukakan CUEPACS sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.

Sambil menjelaskan perkara itu perlu diteliti serta dibincangkan dengan pegawainya terlebih dulu, beliau berkata, PROSPEK hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan.

Justeru, beliau berkata, JPA kini dalam proses memberikan taklimat dan penerangan kepada semua kementerian serta agensi kerajaan berhubung PROSPEK, termasuk garis panduan yang sudah ditetapkan.

“Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada Januari lalu adalah berasaskan peperiksaan, tetapi PROSPEK tidak ada peperiksaan, sebaliknya garis panduan.

“Sehubungan itu, JPA memperkenalkannya kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk mereka membentuk suatu penilaian berasaskan PROSPEK bersesuaian dengan keperluan skim perkhidmatan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar semalam melaporkan CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JPA mengenai PROSPEK bagi menggantikan PTK berkuat kuasa 1 Julai depan, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.
Tuntutan utama supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK.

Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai CUEPCAS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan juga isu berkaitan, serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.

Sumber


Utusan Malaysia
20/6/2011

ALOR SETAR 19 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2012, awal Oktober ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya sudah menyatakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara lisan dan akan memohon perkara itu secara bertulis dalam masa terdekat.

“Dua tahun kebelakangan ini kakitangan awam seluruh negara memperoleh wang saguhati RM1,000. Namun, kali ini CUEPACS amat berharap kerajaan menimbangkan kadar bonus yang lebih baik.

“Saya tidak mahu nyatakan berapa bulan bonus yang kita pohon kepada kerajaan kerana bimbang peniaga akan menaikkan harga barang, namun jumlah yang dipohon ini bersesuaian kepada penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, CUEPACS juga menuntut kerajaan untuk menyelaraskan elaun sara hidup (COLA) bagi meningkatkan taraf hidup 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.

Omar berkata, COLA yang dinikmati ketika ini sekitar RM80 sebulan sudah diguna pakai sejak lapan tahun lalu dan sudah tiba masanya ia dinaikkan kepada RM300 sebulan.

“Kenaikan ini selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) menerusi pekerja pendapatan tinggi dan melahirkan pekerja yang kreatif serta inovatif.

“Harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan ke arah menuju negara maju menjelang 2020,” jelasnya.


Berita Harian
2011/06/21

KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Sektor Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dan menaikkan elaun sara hidup diselaraskan kepada RM300 sebulan di semua tempat. Permintaan itu dimohon kepada Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012.

Dalam keadaan sekarang, CUEPACS perlu menyarankan kepada kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti dan memastikan negara kita muncul sebagai negara maju pada 2020, berbanding tuntutan untuk mendapatkan bonus dan kenaikan elaun sara hidup. Bagaimana pula nasib orang yang bekerja sendiri, penoreh getah pesawah, petani, nelayan, pemandu bas, kereta sewa dan teksi mereka tiada gaji dan elaun sara hidup? CUEPACS disaran turut memperjuangkan perkara lain juga seperti kebajikan kakitangan awam. Kini Kementerian Sumber Manusia pula mengumumkan mengenai penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 yang dijangka dapat beroperasi tahun ini. Penubuhan badan itu akan memberi impak kepada pekerja berpendapatan rendah dapat gaji minimum akhir tahun ini.

Kini 34 peratus atau 350,000 pekerja sektor awam mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan. Sama ada kerajaan mahu memberi bonus atau sebaliknya terpulang kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Adalah menjadi keutamaan kerajaan mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan dalam pilihan raya umum lalu. Kakitangan awam disaran mencontohi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang segan meminta bonus dan elaun tambahan kerana kemampuan kerajaan kini berada pada keadaan minimum.

Sikap boros berbelanja akan mendorong kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang akhirnya membawa kepada tekanan inflasi tinggi.


Berita Harian
16/6/2011

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan menetapkan dasar kadar gaji minimum yang lebih praktikal, selaras dengan transformasi negara berpendapatan tinggi.

CUEPACS yang mewakili 1.2 juta penjawat awam memperjuangkan tuntutan gaji pokok minimum RM920 sejak empat tahun lalu, manakala MTUC yang menaungi 620,000 ahli diwakili 272 kesatuan menuntut kadar gaji pokok minimum RM900 sejak 11 tahun lalu. Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata jika tuntutan kongres dipertimbangkan, ia menggembirakan lebih 350,000 penjawat awam yang menikmati gaji pokok bawah RM900 sebulan, selain lantikan baru penjawat awam Gred 1 hingga 16 yang menikmati gaji pokok RM647 sebulan. Kadar itu, katanya, menyebabkan ramai penjawat awam berada di bawah garis kemiskinan.

“Kita berharap dengan adanya kajian semula Sistem Saraan Malaysia dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam, semakan semula gaji pokok bagi lantikan baru mesti melepasi gaji minimum RM920.

“Tuntutan itu dianggap munasabah kerana ia dikemukakan sejak tiga, empat tahun lalu, sepatutnya kerajaan meluluskan kadar gaji minimum lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup hingga memaksa penjawat awam melakukan kerja sambilan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangka dasar kadar gaji minimum bagi pekerja berpendapatan rendah di negara ini dapat dilaksanakan akhir tahun ini selepas penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara (MKGN).
Rang Undang-Undang MKGN 2011 akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia di Parlimen pada persidangan kali ini.

Sementara itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, berkata penetapan gaji minimum perlu memastikan pekerja tidak terus dibelenggu kemiskinan atau jumlah yang disifatkan hanya mampu hidup.

“Saya difahamkan kerajaan mungkin menetapkan gaji minimum pada kadar RM700 iaitu di bawah garis kemiskinan yang tidak sesuai dengan transformasi negara berpendapatan tinggi,” katanya.


Utusan Malaysia
16/6/2011
PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah sebelum akhir tahun ini, umpama bulan jatuh ke riba bagi golongan itu.
 Bukan rahsia lagi yang isu gaji minimum ini telah diperjuangkan oleh kesatuan sekerja awam dan swasta di negara ini sejak sekian lama umpama pungguk merindukan bulan.
 Beberapa siri rundingan, dialog dan pertemuan telah diatur di antara pihak kesatuan, wakil kerajaan dan majikan termasuk swasta untuk mencari titik persefahaman namun kerap kali tidak mencapai kata putus.
 Antara alasan yang pernah diberikan majikan khususnya pihak industri yang banyak menggaji pekerja asing untuk menolaknya; sebaik sahaja dilaksanakan, tidak akan ada pengecualian maksudnya ia meliputi semua termasuk warga asing.
 Tetapi wajarkah alasan itu menjadi kekangan untuk melaksanakan skim gaji ‘yang munasabah dan berpatutan’ untuk pekerja di negara ini?
 Perlukah kita mengorbankan kebajikan pekerja tempatan semata-mata kerana enggan membayar jumlah gaji yang sepadan kepada pekerja asing?
 Difahamkan ada kalangan pekerja yang pendapatan asasnya RM600 sebulan. Malah ada pengawal keselamatan yang dibayar serendah RM500 sebulan.
 Bayangkan apa yang dapat dibeli dengan wang sebanyak itu, lagi-lagi jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur?
 Dengan gaji sekecil itu, golongan pekerja ini terpaksa berkira-kira untuk membayar sewa rumah, duit minyak baik kereta atau motor, tol dan belanja dapur yang tentu sahaja besar bagi yang berkeluarga.
 Itu belum dikira belanja sekolah anak, yuran termasuk duit beli ubat apabila sakit pening.
 Justeru pengumuman Perdana Menteri semasa menghadiri majlis makan malam Hari Pekerja 2011 kelmarin, sememangnya berita yang cukup menggembirakan!
 Cadangan gaji minimum sekitar RM900 sebulan yang diperjuangkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), rasanya cukup munasabah dan tidak membebankan kerajaan.
 Walaupun kadarnya hanya akan diputuskan selepas Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuhkan, kita menaruh kepercayaan ia suatu jumlah yang melegakan.
 Perkembangan terbaru ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mendengar keluhan rakyat bahkan membuktikan gagasan ‘Rakyat Didahulukan’ bukan sekadar slogan.
 Ribuan maklum balas berhubung syor gaji minimum yang diterima Perdana Menteri dalam blog beliauhttp://www.1malaysia.com juga jelas tidak dibakulsampahkan.
 Dalam perjalanan Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, nasib golongan pekerja ini nampaknya tidak diabaikan sebaliknya mereka dibawa sama untuk mencapai matlamat tersebut.
 Kita percaya dengan pelaksanaan gaji minimum itu kelak, golongan pekerja yang mendapat manfaat daripadanya akan membalas budi dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.
 Kita mengandaikan dengan peningkatan pendapatan itu, mereka tidak perlu lagi bersusah payah membuat kerja sambilan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pekerjaan hakiki.
 Dengan itu, barulah gagasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ menjadi slogan yang lengkap!

Bernama
2011/06/19

ALOR SETAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (PROSPEK), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.

“Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif PROSPEK tidak tercapai. Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat,” kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman. Beliau berkata, CUEPACS juga menuntut pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan. “Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam PROSPEK konsep melintang dan menegak tiada. Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, CUEPACS sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung pelaksanaan PROSPEK.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang tidak disentuh dan perlu dimasukkan dalam PROSPEK supaya terdapat perubahan lebih baik berbanding PTK.
“Antara permintaan lain CUEPACS ialah pelantikan panel berwibawa bagi membuat penilaian terhadap penjawat awam selain dua pegawai mewakili kesatuan sekerja supaya penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama,” katanya.

Omar juga berkata, CUEPACS tegas dengan tuntutannya mengenai penyelarasan elaun sara hidup kepada RM300 untuk semua penjawat awam dan imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM350 dari RM180. – BERNAMA