Berita Harian
2011/06/21

KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Sektor Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dan menaikkan elaun sara hidup diselaraskan kepada RM300 sebulan di semua tempat. Permintaan itu dimohon kepada Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012.

Dalam keadaan sekarang, CUEPACS perlu menyarankan kepada kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti dan memastikan negara kita muncul sebagai negara maju pada 2020, berbanding tuntutan untuk mendapatkan bonus dan kenaikan elaun sara hidup. Bagaimana pula nasib orang yang bekerja sendiri, penoreh getah pesawah, petani, nelayan, pemandu bas, kereta sewa dan teksi mereka tiada gaji dan elaun sara hidup? CUEPACS disaran turut memperjuangkan perkara lain juga seperti kebajikan kakitangan awam. Kini Kementerian Sumber Manusia pula mengumumkan mengenai penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 yang dijangka dapat beroperasi tahun ini. Penubuhan badan itu akan memberi impak kepada pekerja berpendapatan rendah dapat gaji minimum akhir tahun ini.

Kini 34 peratus atau 350,000 pekerja sektor awam mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan. Sama ada kerajaan mahu memberi bonus atau sebaliknya terpulang kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Adalah menjadi keutamaan kerajaan mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan dalam pilihan raya umum lalu. Kakitangan awam disaran mencontohi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang segan meminta bonus dan elaun tambahan kerana kemampuan kerajaan kini berada pada keadaan minimum.

Sikap boros berbelanja akan mendorong kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang akhirnya membawa kepada tekanan inflasi tinggi.