Berita Harian
16/6/2011

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan menetapkan dasar kadar gaji minimum yang lebih praktikal, selaras dengan transformasi negara berpendapatan tinggi.

CUEPACS yang mewakili 1.2 juta penjawat awam memperjuangkan tuntutan gaji pokok minimum RM920 sejak empat tahun lalu, manakala MTUC yang menaungi 620,000 ahli diwakili 272 kesatuan menuntut kadar gaji pokok minimum RM900 sejak 11 tahun lalu. Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata jika tuntutan kongres dipertimbangkan, ia menggembirakan lebih 350,000 penjawat awam yang menikmati gaji pokok bawah RM900 sebulan, selain lantikan baru penjawat awam Gred 1 hingga 16 yang menikmati gaji pokok RM647 sebulan. Kadar itu, katanya, menyebabkan ramai penjawat awam berada di bawah garis kemiskinan.

“Kita berharap dengan adanya kajian semula Sistem Saraan Malaysia dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam, semakan semula gaji pokok bagi lantikan baru mesti melepasi gaji minimum RM920.

“Tuntutan itu dianggap munasabah kerana ia dikemukakan sejak tiga, empat tahun lalu, sepatutnya kerajaan meluluskan kadar gaji minimum lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup hingga memaksa penjawat awam melakukan kerja sambilan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangka dasar kadar gaji minimum bagi pekerja berpendapatan rendah di negara ini dapat dilaksanakan akhir tahun ini selepas penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara (MKGN).
Rang Undang-Undang MKGN 2011 akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia di Parlimen pada persidangan kali ini.

Sementara itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, berkata penetapan gaji minimum perlu memastikan pekerja tidak terus dibelenggu kemiskinan atau jumlah yang disifatkan hanya mampu hidup.

“Saya difahamkan kerajaan mungkin menetapkan gaji minimum pada kadar RM700 iaitu di bawah garis kemiskinan yang tidak sesuai dengan transformasi negara berpendapatan tinggi,” katanya.