Siapa Aku?

Waktu kecilku, Kuhampiri mu
Hanya untuk pelukan, Dan kasih sayangmu
Tetapi yang kuterima “Teddy Bear” sebagai gantimu
Apabila ku sedih, runsing dan keliru
Aku hampiri mu lagi – Untuk nasihat, kasih sayang
Air muka, kata-kata yang merdu
Aku hauskan pelukanmu
Aku ingin mendengar kata sayangmu
Tetapi yang ku terima, Permainan sebagai gantimu

Hati kecilku sentiasa ingin tahu
Apa itu, yah? Apa itu, bu?
Mengapa itu, yah? Mengapa itu, bu?
Dunia ingin ku terokai, Dunia ingin ku kenali
Supaya aku kenal siapa aku
Tetapi,”ayah penat” Ibu pula sibuk dan tak tahu
Bukan sudah ayah belikan permainan
Apa lagi yang kau mahu?

Masa yang singkat aku bersamamu
Hanyalah di dalam kereta
Untuk dihantar atau pulang, Dari rumah jagaanku
Itupun tidak selalu, kerana biasanya aku dikirim
Atau dipajakkan
Kepada orang, yang bukan ayah ibu
Ada masanya di dalam kereta
Ku penat, ku lesu bermain sepanjang hari
Ibu, ayah juga bekerja sepanjang hari
Suasana dalam kereta – Fana, sunyi dan sepi
Tiada apa yang berbunyi
Akhirnya TV, video dan kartun
Menjadi kawan karibku, Menjadi penghibur hatiku
Mententeramkan perasaanku
Mengganti tempat ayah ibu
Sekarang aku telah dewasa, Ibu ayah pula sudah tua
Aku pula membawa ibu ayah dalam kereta
Tiada satu yang aku dapat perkatakan
Ibu ayah juga sunyi seperti biasa
Hanya yang ku tanya
Apa ayah ibu nak makan, ke mana ayah ibu nak pergi
Atau doktor mana, ibu ayah nak temui
Aku terus leka dengan permainanku
Sekarang merupakan keretaku
Mobile telefonku atau kayu golfku
Sementara ayah ibu, Hanya sekarang
Cuba mendampingiku
Cuba memberi kasih sayang kepadaku

Tetapi aku tidak mengertinya
Kerana itu bukan bahasaku
Aku tidak memahaminya
Kerana belum mengenal
Siapa AKU?