SEREMBAN 11 Julai – Mutu kerja para penjawat awam di negeri ini meningkat dengan ketara sejak 2004 melalui pelbagai pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pembaharuan masih perlu dilaksanakan terhadap imej penjawat awam yang dibelenggu stigma yang tidak baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau amat berpuas hati dengan peningkatan mutu kerja ditunjukkan para penjawat awam di negeri ini hingga melepasi sasaran yang ditetapkan mengikut Sasaran Kerja Tahunan (SKT).

Beliau berkata, ia boleh dilihat apabila surat yang mengadu mengenai perkhidmatan awam semakin berkurangan, malah sudah banyak surat dihantar oleh orang ramai yang memuji perkhidmatan yang diberikan.

“Tetapi kita masih menghadapi masalah mengenai imej kakitangan awam yang menimbulkan persepsi tidak baik di mata orang ramai.

“Kita perlu mengurus persepsi ini supaya ia tidak terus membelenggu perkhidmatan awam di negeri ini,” katanya berucap pada Perhimpunan Hari Penjawat Awam Peringkat Negeri Sembilan anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Bahagian Negeri Sembilan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dan Pengerusi CUEPACS Bahagian Negeri Sembilan, Shazali Husain.

Mohamad pada sidang akhbar selepas majlis itu, berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan kaunter universal bagi membolehkan semua urusan perkhidmatan kaunter kerajaan dibuat di situ.

Katanya, ia bertujuan memudahkan orang ramai membuat urusan tanpa perlu pergi ke tempat berlainan yang dianggap menyusahkan dan menggunakan banyak masa.

“Pada masa ini, kaunter jabatan kerajaan terletak di merata-rata tempat, malah jabatan-jabatan yang terletak di bawah satu kementerian yang sama terletak di kawasan berasingan,” katanya.

Sementara itu, Shazali berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan kerajaan negeri itu kerana semua jabatan kerajaan sepatutnya mencari jalan bagi memudahkan orang ramai membuat urusan.

Sumber