Utusan Malaysia
16/6/2011
PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah sebelum akhir tahun ini, umpama bulan jatuh ke riba bagi golongan itu.
 Bukan rahsia lagi yang isu gaji minimum ini telah diperjuangkan oleh kesatuan sekerja awam dan swasta di negara ini sejak sekian lama umpama pungguk merindukan bulan.
 Beberapa siri rundingan, dialog dan pertemuan telah diatur di antara pihak kesatuan, wakil kerajaan dan majikan termasuk swasta untuk mencari titik persefahaman namun kerap kali tidak mencapai kata putus.
 Antara alasan yang pernah diberikan majikan khususnya pihak industri yang banyak menggaji pekerja asing untuk menolaknya; sebaik sahaja dilaksanakan, tidak akan ada pengecualian maksudnya ia meliputi semua termasuk warga asing.
 Tetapi wajarkah alasan itu menjadi kekangan untuk melaksanakan skim gaji ‘yang munasabah dan berpatutan’ untuk pekerja di negara ini?
 Perlukah kita mengorbankan kebajikan pekerja tempatan semata-mata kerana enggan membayar jumlah gaji yang sepadan kepada pekerja asing?
 Difahamkan ada kalangan pekerja yang pendapatan asasnya RM600 sebulan. Malah ada pengawal keselamatan yang dibayar serendah RM500 sebulan.
 Bayangkan apa yang dapat dibeli dengan wang sebanyak itu, lagi-lagi jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur?
 Dengan gaji sekecil itu, golongan pekerja ini terpaksa berkira-kira untuk membayar sewa rumah, duit minyak baik kereta atau motor, tol dan belanja dapur yang tentu sahaja besar bagi yang berkeluarga.
 Itu belum dikira belanja sekolah anak, yuran termasuk duit beli ubat apabila sakit pening.
 Justeru pengumuman Perdana Menteri semasa menghadiri majlis makan malam Hari Pekerja 2011 kelmarin, sememangnya berita yang cukup menggembirakan!
 Cadangan gaji minimum sekitar RM900 sebulan yang diperjuangkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), rasanya cukup munasabah dan tidak membebankan kerajaan.
 Walaupun kadarnya hanya akan diputuskan selepas Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuhkan, kita menaruh kepercayaan ia suatu jumlah yang melegakan.
 Perkembangan terbaru ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mendengar keluhan rakyat bahkan membuktikan gagasan ‘Rakyat Didahulukan’ bukan sekadar slogan.
 Ribuan maklum balas berhubung syor gaji minimum yang diterima Perdana Menteri dalam blog beliauhttp://www.1malaysia.com juga jelas tidak dibakulsampahkan.
 Dalam perjalanan Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, nasib golongan pekerja ini nampaknya tidak diabaikan sebaliknya mereka dibawa sama untuk mencapai matlamat tersebut.
 Kita percaya dengan pelaksanaan gaji minimum itu kelak, golongan pekerja yang mendapat manfaat daripadanya akan membalas budi dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.
 Kita mengandaikan dengan peningkatan pendapatan itu, mereka tidak perlu lagi bersusah payah membuat kerja sambilan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pekerjaan hakiki.
 Dengan itu, barulah gagasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ menjadi slogan yang lengkap!