Utusan Malaysia
20/6/2011

ALOR SETAR 19 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2012, awal Oktober ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya sudah menyatakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara lisan dan akan memohon perkara itu secara bertulis dalam masa terdekat.

“Dua tahun kebelakangan ini kakitangan awam seluruh negara memperoleh wang saguhati RM1,000. Namun, kali ini CUEPACS amat berharap kerajaan menimbangkan kadar bonus yang lebih baik.

“Saya tidak mahu nyatakan berapa bulan bonus yang kita pohon kepada kerajaan kerana bimbang peniaga akan menaikkan harga barang, namun jumlah yang dipohon ini bersesuaian kepada penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, CUEPACS juga menuntut kerajaan untuk menyelaraskan elaun sara hidup (COLA) bagi meningkatkan taraf hidup 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.

Omar berkata, COLA yang dinikmati ketika ini sekitar RM80 sebulan sudah diguna pakai sejak lapan tahun lalu dan sudah tiba masanya ia dinaikkan kepada RM300 sebulan.

“Kenaikan ini selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) menerusi pekerja pendapatan tinggi dan melahirkan pekerja yang kreatif serta inovatif.

“Harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan ke arah menuju negara maju menjelang 2020,” jelasnya.