Filem Lucah Menyumbang Kejadian Jenayah Filem Lucah Menyumbang Kejadian Jenayah

MELAKA – Filem tidak bertapis dan lucah antara punca kepada kejadian jenayah seperti pembuangan bayi, rogol dan keganasan.

Atas faktor itu Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Melaka mengadakan satu program khas bagi mengatasi masalah tesebut.

Pengarahnya, Nasruddin Abdullah berkata, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan media di negeri ini bagi melaksanakan program yang bersifat mendidik dan mencegah tersebut.

“Kita akan laksanakan program pendidikan dan pencegahan kesan negatif menonton filem tidak bertapis serta lucah terhadap masyarakat kerana banyak kejadian jenayah termasuk pembuangan bayi dan rogol berkaitan dengan filem seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelantikan Rakan Bestari Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN cawangan Melaka di sini hari ini.

Nasruddin berkata, program pendidikan dan pencegahan itu bakal melibatkan semua kumpulan masyarakat terutama di kalangan ibu bapa.

Ia kerana, kata beliau, ibu bapa adalah pihak yang penting dalam mengawasi golongan muda supaya mereka tidak menonton filem tidak bertapis dan lucah.

Disamping itu, kata beliau, penguatkuasaan undang-undang akan dipergiat bagi memastikan filem lucah tidak dijual di pasaran. – mynewshub.my