LONDON: Identiti pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang bertanggung-jawab memburu dan merancang operasi membunuh Osama bin Laden dikatakan terbongkar semata-mata lelaki berkenaan bergambar bersama Pegawai Tinggi Pentadbiran Obama dengan memakai tali leher kuning.

Pegawai yang dikenali dengan nama John bertugas sebagai penganalisis CIA yang tugasnya memburu ketua al-Qaeda itu.

Nama lengkap pegawai berkenaan dirahsiakan. Namun, akhbar Daily Mail melaporkan seorang penyiasat di internet yakin beliau berjaya mengenal pasti pegawai itu dari beberapa gambar diedarkan Rumah Putih, termasuk gambar pegawai kanan Amerika Syarikat menonton rakaman video serbuan komando tentera AS terhadap rumah persembunyian Osama.

Minggu lalu, pegawai CIA memberitahu wartawan AP bahawa John berada di di bilik di mana pegawai kanan AS itu menonton rumah Osama di Pakistan.

Bagaimanapun, John tidak terlihat dalam gambar yang diedarkan ketika itu.
Penyiasat internet John Young meneliti beberapa gambar diedarkan Rumah Putih dan dapat mengenal pasti seorang lelaki tinggi yang memakai tali leher kuning yang berdiri ketika pegawai kanan itu menonton rakaman video terbabit.

Young kemudian memeriksa gambar lain dan menemui lelaki yang memakai tali leher kuning itu.
Menurut berita AP, dua hari selepas kematian Osama, John menemani pengarah CIA, Leon Panetta ke Capitol Hill untuk memberi keterangan di depan Jawatankuasa Risikan Senat mengenai operasi serbuan terbabit.

Young mencari sebuah foto ketika Panetta keluar dari pertemuan dengan Senat pada 3 Mei itu. Pada foto berkenaan terlihat jelas seorang lelaki yang menggunakan tali leher kuning.

Hampir semua yang terbabit dalam serbuan ke atas kediaman Osama dirahsiakan identiti mereka berikutan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.
John orang pertama yang mengungkapkan bahawa CIA memiliki petunjuk untuk menjejak Osama.

John memeriksa pelbagai petunjuk yang akhirnya mengenal pasti tempat persembunyian Osama di Abbottabad, Pakistan.

Beliau antara orang yang memberi maklumat kepada Presiden Barack Obama bahawa Osama kemungkinan bersembunyi di tempat itu. CIA menyatakan mereka tidak mengizinkan John berbicara kepada wartawan. – Agensi

Sumber