Siapa tak kenal dengan ikan terubuk masin Sarawak yang bukan saja dijual di pasar-pasar di negeri Sarawak, malah mudah diperolehi di negeri-negeri lain di Malaysia (termasuk di pasar-pasar malam di Lembah Klang).

Mungkin kita akan terfikir, cukupkah sumber ikan terubuk yang semulajadinya bertelur dan membiak secara bermusim itu memenuhi permintaan industri ikan terubuk masin setiap hari?

Demi untuk memelihara biodiversiti ikan terubuk tempatan di Sarawak, penangkapan ikan terubuk tempatan yang liar perlu dikawal di samping mengadakan usaha untuk membiakbakakan (breeding) ikan terubuk tempatan bagi memenuhi permintaan industri terubuk masin ini.

Artikel berkaitan ikan terubuk masin Sarawak dipanjangkan di bawah ini….

Sumber: Rencana Kosmo

Terubuk Sungai Keenakan

POPULARITINYA bagai selebriti malah namanya tidak lekang di bibir pelancong yang pernah menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang.

Dikenali sebagai ikan pelancong, terubuk Sarawak sudah sinonim sebagai ikon pelancongan di sebalik cerita duka spesies hampir pupus itu.

MESKIPUN menjadi ikon pelancongan, penangkapan terubuk tempatan perlu dikawal bagi mengelakkan ia pupus.

Menyingkap realiti sebenar terubuk masin, krew Jurnal menjengah ke salah sebuah pusat jualan terubuk masin terbesar di Kuching Utara iaitu Pasar Satok.

GERBANG utama Pasar Satok yang merupakan pusat penjualan terubuk masin Sarawak di bandar raya Kuching Utara.

Menurut seorang penjual di pasar tersebut, Nasir Abdullah, 55, jumlah jualan terubuk masin mencecah sehingga 200 tong sehari.

“Bergantung kepada saiz, setiap tong dianggarkan dapat menyimpan di antara 100 hingga 200 ikan terubuk.

“Di pasar ini saja terdapat hampir 50 buah gerai yang menjual ikan tersebut,” kata Nasir yang telah berniaga ikan selama hampir separuh daripada usianya.

Berkongsi pengalaman, Nasir menjelaskan kebanyakan peniaga ikan terubuk di Pasar Satok merupakan pesara tentera.

Musim

Malah, wujud pertubuhan ATM Gerai Satok bagi memberi peluang kepada hampir 20 pesara tentera di situ menjalankan perniagaan yang secara tidak langsung mempromosikan ikon Bumi Kenyalang tersebut.

Meskipun terubuk masin boleh didapati di mana-mana termasuk di kaki lima bangunan komersial di Kuching, bekalan terubuk sungai semakin berkurangan.

Spesies terubuk sungai membiak mengikut musim sedangkan tangkapan dilakukan sepanjang tahun.

Ujar Nasir, terubuk tempatan hanya bertelur pada bulan Jun hingga Oktober sekali gus menyebabkan permintaan melampaui pengeluaran.

“Musim bertelur di Batang (sungai) Lupar agak singkat manakala di Batang Lassa lebih panjang iaitu di antara April hingga November,” beritahu Nasir.

Kemerosotan tangkapan terubuk tempatan memaksa bekalan diimport dari Thailand, India dan beberapa negara lain.

“Sebab itu terdapat dua jenis terubuk di Sarawak ini iaitu ikan yang diimport dan tempatan. Kedua-duanya ada perbezaan ketara tetapi tidak ramai yang tahu mengenainya,” ungkap Nasir dalam bahasa Melayu Sarawak.

Saiz

Bercerita lanjut mengenai terubuk tempatan, Nasir menjelaskan terubuk asli Sarawak mempunyai mulut yang lebih besar dan panjang.

“Ia jenis terubuk sungai dan lazimnya terdapat di Batang Lupar di Sri Aman, Batang Lassa di Mukah, Batang Sadong di Samarahan dan Batang Saribas di Betong,” katanya.

Berbanding terubuk sungai, terubuk laut atau nama saintifiknya Tenualosa macrura mempunyai mulut lebih kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil serta badannya lebih gemuk.

Jenis ini, ungkap Nasir, lebih bertumpu di kawasan pesisiran pantai dari Tanjung Datu hingga Tanjung Sirik.

Menjengah ke satu bahagian di belakang gerai ikan terubuk di Pasar Satok, beberapa anak muda giat memproses ikan tersebut.

Seorang pekerja, Mohd. Fauzi Chinan, 23, yang telah empat tahun bekerja memproses ikan terubuk memberitahu generasi muda di Kuching tidak segan melakukan tugas hanyir itu asalkan mereka memperoleh pendapatan yang lumayan dan stabil.

Mohd. Fauzi memberitahu proses membersihkan seekor ikan terubuk mengambil masa yang singkat.

“Bergantung kepada kepantasan dan ketajaman pisau, satu jam saya boleh memproses sehingga 100 ekor terubuk,” katanya.

Garam China

Berbekalkan pengalaman selama empat tahun memproses terubuk, Mohd. Fauzi dengan mudah membezakan ikan yang mempunyai telur atau sebaliknya.

GARAM halus diimport dari China digunakan bagi memastikan terubuk lebih tahan lama dan sedap.

Katanya, ikan yang mempunyai telur harus disiang dengan berhati-hati agar kualiti telurnya tidak terjejas.

Jelas Mohd. Fauzi, menyiang terubuk memerlukan pisau yang ditempah khas kerana bukan sembarangan pisau boleh digunakan.

“Garam yang digunakan pula diimport dari China supaya tekstur terubuk lebih halus manakala rasanya lebih lemak,” ujar Mohd. Fauzi sambil menabur garam ke atas ikan-ikan yang telah siap dibersihkan.

Cerita lelaki Melanau itu, garam tersebutlah yang membezakan rasa dan kesedapan ikan terubuk masin di Sarawak dan Semenanjung.

“Garam jugalah antara sebab ikan terubuk masin di Semenanjung tidak sama malah kurang sedap dan berlemak berbanding yang terdapat di sini,” katanya.

Misi mencari menu istimewa ikan terubuk di bandar raya Kuching gagal memberi hasil.

Menu berteraskan ikan terubuk nyata sukar dijumpai walaupun sudah puas meredah hotel, restoran malah warung tepi jalan.

Pasar Satok

Penulis sempat menjenguk beberapa kedai makan di beberapa kampung di sekitar Kuching tetapi hasilnya sama. Tiada menu ikan terubuk.

DIBUNGKUS rapi, terubuk masin Sarawak dipos ke serata tempat di Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

Melalui pemerhatian penulis, ikan terubuk sememangnya sesuai untuk penjualan secara segar, bukan dimasak dan dihidangkan secara eksklusif di restoran.

Ikon pelancongan Sarawak itu lebih menarik perhatian pembeli dan peminatnya dalam keadaan asli – segar dari Pasar Satok.

Menjengah ke pasar utama yang menempatkan 1,400 peniaga yang terdiri daripada pelbagai etnik dari seluruh Sarawak cukup menterjemahkan keistimewaan pasar berkenaan.

Bermula pada setiap pagi Sabtu sehingga tengah hari Ahad, pasar tersebut dibahagikan kepada tujuh zon utama termasuk bahagian buah-buahan, tekstil, haiwan hidup, hasil hutan, makanan bermasak serta makanan basah.

Mengikut sumber tempatan, pasar ini asalnya diwujudkan untuk wanita etnik Bidayuh yang menjual sayuran dan buah-buahan.

Lama-kelamaan, etnik lain seperti Iban, Cina dan Melayu turut berniaga di pasar tersebut yang dahulunya berniaga di Pasar Gambier.

Kedudukan Pasar Gambier yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching menyebabkan ia dipindahkan ke Jalan Satok yang agak jauh dari pusat bandar.

Kini, dengan kepadatan penduduk tempatan serta pelancong yang menjadikan lokasi Pasar Satok sebagai destinasi wajib dikunjungi, tidak hairanlah nama terubuk masin Sarawak terus meniti di bibir pengunjung.

Sumber