NAIK...peniaga di Pasar Chow Kit menjual ayam RM8 sekilogram.

KUALA LUMPUR: Sejak dua minggu lalu, kebanyakan peniaga bahan keperluan di beberapa pasar mendakwa berlaku kenaikan harga terutama barangan mentah di pasar khususnya ikan dan ayam.

Tinjauan ke Pasar Chow Kit mendapati, harga ayam meningkat 50 sen hingga RM1 sekilogram yang dijual pada harga RM8 atau RM8.50 sekilogram berbanding RM7.50 sekilogram sebelum ini.
Malah, lebih mengejutkan harga ikan kembung yang dijual pada harga RM6 sekilogram meningkat sehingga 100 peratus iaitu pada harga RM12 sekilogram sejak tiga hari lalu.

Peniaga, Ali Mahmud, 28, berkata, kenaikan harga berlaku sejak dua minggu lalu dengan kenaikan 20 sen hingga RM6 menyebabkan peniaga menerima pelbagai rungutan daripada pembeli.
“Kami menerima barangan daripada pemborong. Jika mereka menaikkan harga kami terpaksa menjual pada harga tinggi walaupun kadang-kadang keuntungan sedikit.
“Peniaga dalam dilema kerana setiap hari terpaksa menerima rungutan daripada pembeli jika berlaku keadaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah menaikkan harga ayam sesuka hati kerana sedia maklum bahan mentah berkenaan barangan kawalan.
Peniaga ikan yang mahu dikenali Hairi, 29, berkata minggu ini menyaksikan kenaikan beberapa jenis ikan seperti kembung, kerisi dan selar sehingga dua kali ganda daripada harga sebelum ini.

“Kekurangan bekalan ikan terutama kembung akibat keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan harganya naik mendadak dan ini kali kedua harga ikan naik.
“Kami tidak dapat menjangka harganya akan turun dalam masa terdekat kerana tidak menunjukkan ia akan kembali normal dan bergantung keadaan semasa,” katanya.

Sumber