Oleh Ku Seman Ku Hussain

 

SATU kajian sains sosial mendapati untuk mengukur tinggi atau rendahnya lingkungan pemikiran sesuatu kelompok masyarakat, lihatlah sesuatu yang menjadi kekaguman mereka.

Kekaguman ini berada di sekitar kehidupan kelompok masyarakat berkenaan misalnya apakah bahan yang dibaca, jenis program televisyen atau filem ditonton. Semua ini adalah petunjuk untuk melihat graf pemikiran mereka sama ada berada dalam kelas berselera tinggi atau rendah.

Budaya popular adalah suatu yang paling berpengaruh dalam kalangan masyarakat. Tetapi tahap budaya pop itu juga menunjukkan perbezaan antara seseorang individu dengan yang lain.

Sekiranya rumusan kajian sosial itu digunakan untuk mengkaji tahap pemikiran orang kita, apakah kita berada pada kelompok berselera tinggi atau sebaliknya. Tahap pemikiran adalah cerminan kepada kehidupan sosial masyarakat.

Baru-baru ini sebuah kumpulan lawak muncul sebagai juara dengan memenangi hadiah wang tunai RM350,000 dan lain-lain hadiah iringan. Program yang mempertandingkan pelawak-pelawak ini sangat popular padahal tahap lawak yang diberikan sangat rendah.

Malah kumpulan yang mendapat hadiah RM350,000 sangat rendah pemikiran mereka kalau mahu diukur dengan tahap Malaysia sebagai sebuah negara yang dikagumi di seluruh dunia.

Kumpulan ini pernah membuat sketsa lawak perempuan yang hendak bersalin di pentas dan akhirnya mereka dipilih sebagai juara.

Difahamkan kemenangan itu ditentukan oleh 50 peratus markah oleh juri profesional (apa tahap profesional tidak diberitahu) dan 50 peratus lagi oleh penonton yang mengundi menerusi SMS.

Jadi, kita boleh membuat kesimpulan inilah kumpulan lawak paling hebat sebab itu mereka diberi kemenangan. Maka kalau kajian sains sosial di atas boleh digunapakai, kerendahan pemikiran yang terpancar dalam lawak itu mencerminkan juga kerendahan pemikiran masyarakat yang rata-rata orang Melayu dan penagih program televisyen.

Kelompok masyarakat begini tidak menghiraukan sangat soal budaya, kesantunan dan jauh sekali tahap seni dan kreativiti.

Sepatutnya orang Melayu khususnya bimbang dengan perkembangan begini kerana ia tidak memperlihatkan pemikiran yang besar untuk mengisi cabaran sosial yang hebat.

Kecenderungan kepada sesuatu yang bercitarasa rendah sangat rapat dengan keutamaan masyarakat kepada hal-hal remeh dan tidak membina.

Kelompok masyarakat begini tidak membantu membina negara. Sebaliknya mereka pula yang dipergunakan kerana selera yang rendah, tidak memilih dan pasif. Mereka adalah hamba kapitalis zaman moden.

Sumber