MEMBARA...skuad kebangsaan bakal menentang Taiwan di Bukit Jalil, Rabu ini.

AURA kebangkitan yang disuntik dalam skuad kebangsaan berikutan kejayaan menamatkan kemarau kejuaraan bertahun-tahun lamanya di peringkat Asia Tenggara membuatkan penyerang berbisa, Mohd Safee Sali mula yakin skuad kendalian Datuk K Rajagobal mempunyai ramuan terbaik untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014.

Menurutnya, Malaysia, pasukan di ranking ke-143 dunia memiliki kemampuan untuk menundukkan dua lawan pusingan awal, Taiwan (160) dan Singapura (144) untuk memastikan tempat bersaing dalam peringkat kumpulan pusingan kelayakan itu.
“Secara realistik, saya yakin skuad kebangsaan boleh melepasi pusingan kedua dan bersaing dengan pasukan terbaik Asia. Mungkin selepas itu kita boleh buat kejutan kerana jika kita bermain dalam peringkat kumpulan, kita akan berusaha melakukan yang lebih baik.

 

“Saya harap skuad kebangsaan boleh melangkah sejauh yang boleh pada pusingan kelayakan ini,” katanya yang mencipta nama selaku penjaring terbanyak ketika membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF Disember lalu buat kali pertama sejak 1996.
Safee tiba di ibu negara minggu lalu selepas menamatkan saingan musim dengan kelab Pelita Jaya FC di Indonesia untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
Dia antara sandaran utama Rajagobal untuk merobek gawang Taiwan pada perlawanan pertama pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

 

Jika Malaysia berjaya mengatasi Taiwan yang dibimbing Lo Chih-tsung selepas aksi timbal balik di gelanggang lawan Ahad ini, mereka bakal berdepan lawan yang sudah menanti, Singapura di pusingan kedua pada 23 dan 28 Julai bagi merebut tempat ke pusingan ketiga yang bakal membabitkan 20 pasukan.
Bagaimanapun, Safee sedar sifat terlalu yakin boleh memakan diri dan dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan pertama menentang Taiwan bagi memastikan skuad kebangsaan mendapat bekalan selesa apabila bertandang di tempat lawan.

“Skuad kali ini nampak mempunyai kekuatan di bahagian serangan ini kerana kita kena menang pada perlawanan pertama dengan Taiwan untuk mendapat bekalan selesa bagi perlawanan kedua.

“Saya harap kami dapat mengekalkan prestasi seperti ketika menewaskan Myanmar (2-0) sebelum ini,” katanya.
Biarpun masih gagal meledak bersama skuad kebangsaan selepas Piala Suzuki AFF setakat ini, Safee tidak bimbang selagi dia mampu memberi sumbangan kepada kemenangan pasukan.
“Saya tak risau sama ada saya jaringkan gol atau tidak, asalkan pasukan menang. Tapi saya sebenarnya tetap yakin dengan diri sendiri, pada masa akan datang saya akan menjaringkan gol,” katanya yang menjadi penjaring utama buat Pelita Jaya kembali bangkit dalam saingan selepas menduduki tangga tercorot Liga Super Indonesia.
Selain Safee, Rajagobal turut memiliki rangkaian penyerang terdiri daripada, Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakri Saarani, Shahrizal Saad dan Abdul Hadi Yahya.

Sumber