Tony Blair

Bekas PM Britain, NATO mangsa ceroboh terbaru

LONDON: Penggodam komputer berjaya menceroboh dan menyiarkan butir-butir peribadi bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair selepas mendedahkan nombor insurans pemimpin itu di internet.

Fail yang digodam mengandungi nama, alamat dan nombor telefon kenalan Blair dan disiarkan pada laman Twitter sejak Jumaat lalu, lapor akhbar The Telegraph, semalam.

Web pastebin.com itu membenarkan pengguna memuat naik teks. Antara kenalan Blair dalam fail itu termasuk Lord dan Lady Irvine; ahli Parlimen Parti Buruh, Denis MacShane dan butir-butir peribadi keluarga Blair dan Booth – nama keluarga isteri bekas pemimpin itu, Cherie, selain nombor telefon doktor gigi.

Laman web PCmag.com melaporkan, satu anggota pasukan penggodam menggunakan nama ‘Trick’ daripada ‘Team Poison’ memiliki data Blair selama setahun sebelum menyiarkannya.

Mereka juga merancang menyiarkan data peribadi penasihat Blair termasuk ahli perundangan yang menyokong perang Iraq.
Penyiaran data itu disusuli amaran majalah pelancongan, Travelodge lepada pelanggan bahawa butir-butir peribadi mereka mungkin dicuri penggodam daripada pangkalan datanya.

Bulan ini, penggodam menyiarkan di internet nama, tarikh lahit, alamat, emel, nombor telefon dan kata kunci mereka yang menyertai pertandingan anjuran Sony.

Sebuah kumpulan penggodam LulzSec, berkata ia bertanggungjawab menceroboh sistem syarikat itu. Penggodam juga menceroboh laman web syarikat Citigroup dan Senat Amerika Syarikat.

Pegawai berkata, penggodam mencuri AS$2.7 juta (RM8.1 juta) daripada pelanggan Citigroup selepas pencerobohan berlaku bulan lalu.

Terbaru, penggodam menceroboh laman web agensi perangkaan Brazil, IBGE yang lumpuh lima jam selepas serangan berlaku.

Dalam serangan itu, penggodam menggantikan laman utamanya dengan gambar mata dan bendera kebangsaan Brazil.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga melaporkan laman webnya digodam tetapi menekankan ia tidak mengandungi sebarang data sulit. – Agensi

Sumber