BEG plastik hitam yang biasanya digunakan untuk membungkus sampah bertukar fungsi menjadi bekas menyimpan bekalan air di Medan Selera Kelana Jaya, Petaling Jaya semalam.

 

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar penduduk Kuala Lumpur dan Petaling Jaya mula berjimat cermat menggunakan air sambil melakukan apa sahaja cara untuk menyimpan air berikutan gangguan bekalan selama tiga hari akibat kerja-kerja penyelenggaraan loji di Ijok, Hulu Selangor mula dilaksanakan semalam.

Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi yang terjejas mendapati ramai penduduk sudah menyimpan bekalan air untuk keperluan sehingga esok dengan menggunakan pelbagai peralatan daripada baldi, bekas plastik, karung sampah hingga periuk.

Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Bukit Mayang Mas, Petaling Jaya, Rosalind Adedeji, 45, mengakui kelam-kabut menyimpan air sejak malam kelmarin selepas mendapati tekanan air di rumahnya semakin rendah.

“Saya terpaksa menyimpan air pakai periuk dan besen, harap-harap cukup sampai Jumaat ini (esok),” katanya semasa ditemui semalam.

Muka depan Kosmo! semalam melaporkan hampir 800,000 pengguna di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya bakal mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari bermula semalam hingga pagi esok.

Antara kawasan yang terlibat adalah sebahagian daripada Kuala Lumpur termasuk keseluruhan Bukit Kiara, Hulu Selangor, Gombak dan Wilayah Petaling.

Gangguan tersebut berikutan penutupan operasi Loji Rawatan Air Syabas di Sungai Selangor, Ijok, Hulu Selangor untuk kerja-kerja penyelenggaraan bekalan.

– Sumber