MAHALI tidak dapat beraksi malam ini kerana menjalani penggantungan perlawanan selepas menerima dua kad kuning.

MALAYSIA turun tanpa tonggak pertahanan, Mahali Jasuli pada aksi kedua pusingan Kelayakan Olimpik 2012 menentang Lebanon di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Justeru, sesuatu perlu direncanakan oleh jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee selepas kehilangan khidmat ‘kereta kebal’ itu yang sebelum ini memperlihatkan ketahanan menyekat asakan lawan.

Mahali tidak dapat diturunkan dalam perlawanan malam ini selepas menerima dua kad kuning.

Kad kuning pertama tonggak pertahanan kanan berusia 22 tahun itu dikutip ketika aksi menentang Pakistan pada pusingan pertama 9 Mac lalu manakala kad kuning kedua diterimanya pada aksi pertama menentang Lebanon Ahad lalu.

Yang pasti, kehilangan Mahali itu sememangnya dirasai oleh Kim Swee memandangkan dia kini semakin terdesak dalam usaha menurunkan barisan terkuatnya terutama di bahagian pertahanan bagi mengelakkan kubu skuad negara dibolosi lawan.

“Mahali seorang pemain yang berpengalaman bukan sahaja beraksi bersama skuad Olimpik malah dia juga merupakan tonggak utama skuad kebangsaan.

“Kehilangan Mahali pasti akan kami (skuad Olimpik negara) rasai. Tanpa dia, kami kekurangan seorang pemain di bahagian pertahanan kanan yang sentiasa mempamerkan aksi konsisten dalam setiap perlawanan,” kata Kim Swee.

Kim Swee berkata demikian ketika sidang akhbar menjelang aksi kedua pusingan Kelayakan Olimpik 2012 menentang Lebanon di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu terlalu cepat mengalah melihat situasi terkini yang melanda skuad Olimpik negara itu apabila menjelaskan bahawa dia mempunyai beberapa pilihan pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mahali itu.

“Memang kami merasai kehilangan Mahali tetapi saya mempunyai dua pemain yang dilihat mampu menggantikan pemain itu beraksi di bahagian pertahanan kanan.

“Ketika ini, dua pemain

berada dalam fikiran saya bagi menggantikan Mahali iaitu Hafizi (Faizal Mohammad) dan Fandi (Othman) namun saya hanya akan membuat

keputusan sebelum perlawanan bermula nanti,” jelas Kim Swee.

Jika dibuat penilaian, Kim Swee dijangka memilih Hafizi bagi beraksi di bahagian pertahanan kanan memandangkan Fandi tampil dengan aksi konsisten beraksi di bahagian sayap kanan pada aksi pertama sebelum ini.

Dalam pada itu, Kim Swee turut mengakui bahawa anak-anak buahnya perlu memburu gol awal bagi memastikan keadaan lebih selesa memandangkan format perlawanan menyaksikan kelebihan gol di tempat lawan akan diambil kira jika perlawanan berakhir dengan seri.

Pada aksi pertama di Beirut Ahad lalu, skuad Olimpik negara seri tanpa jaringan dengan Lebanon.

Skuad Olimpik negara mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0 pada Mac lalu.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow, Rusia, tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pen cerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Sumber