Ujian UKM sahkan Barbican bebas alkohol

Oleh SUHANA VERU
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol.

Pengarah Suria Wholesaler Sdn. Bhd., Ahmad Al Yateem berkata, laporan itu diterima pada 7 Jun selepas syarikat itu menghantar sampel minuman edaran pihaknya ke UKM pada 1 Jun lalu.

“Perkembangan positif ini membuktikan Barbican bebas alkohol dan selamat diminum oleh pengguna beragama Islam.

“Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat tersebut menjadi syarikat kedua selepas Malaysia Iranian Corporation Sdn. Bhd. yang tampil menegaskan bahawa produk edaran mereka bebas alkohol dan boleh diminum oleh pengguna beragama Islam.