KUALA LUMPUR – Penjaga gol Perak, Nasril Nourdin kembali disenaraikan oleh jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal bagi menghadapi perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia berdepan Taiwan pada 29 Jun depan.

Sumber Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Nasril melaporkan diri di Wisma FAM kelmarin dan mula menjalani latihan semalam.

Dia bakal menggantikan tempat penjaga gol ketiga, Syed Adney Syed Hussein yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Nasril dan pertahanan Kelantan, Mohd. Farisham Ismail digugurkan oleh Rajagobal sebelum perlawanan persahabatan dengan Hong Kong pada 3 Jun lepas.

Dengan kembalinya Nasril, bermakna dia bakal memberikan saingan kepada Sharbinee Allawee dan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat yang masih bersama dengan skuad Olimpik mengharungi pusingan kelayakan menentang Lebanon.

Pada perlawanan dengan Myanmar baru-baru ini, Rajagobal menggunakan khidmat Sharbinee Allawee selaku penjaga gol utama sebelum membawa masuk penjaga gol Olimpik, S. Sasikumar dalam tempoh 10 minit terakhir permainan.

Nasril pernah menjadi penjaga gol utama skuad negara pada kelayakan Olimpik 2008 dan Piala Antara Benua yang diadakan di Petaling Jaya, tiga tahun lepas.

Sumber